JAWAPAN-JAWAPAN USTAZ ASHAARI MUHAMMAD TERHADAP ISU-ISU TERKINI(bhg 1)

JAWAPAN-JAWAPAN USTAZ ASHAARI MUHAMMAD TERHADAP ISU-ISU TERKINI
Kenali1

1. Telah timbul pelbagai spekulasi berikut dengan ketidak hadiran saya di majlis sidang media di Bandar Country Home pada hari Jumaat 1hb Disember yang lepas. Saya minta maaf dalam hal ini kerana agaknya terdapat kesilapan maklumat yang mengatakan saya akan hadir. Sebenarnya saya tidak mungkin boleh hadir disebabkan masalah kesihatan saya. Saya ditakdirkan oleh Tuhan mengidap penyakit yang agak kronik beberapa bulan selepas dibebaskan. Mengikut doktor saya ditimpa multi stroke di mana saya menghadapi masalah untuk bercakap dan bergerak. Tetapi yang peliknya doktor mengesahkan keadaan darah, jantung dan semua organ-organ dalaman saya berada dalam keadaan sangat normal. Ia bukan hanya sekadar sakit fizikal tetapi juga bercampur dengan serangan sihir dari musuh yang tidak senang. Buat masa ini saya dinasihatkan oleh doktor supaya berehat di rumah dan sekarang saya sedang di jaga oleh ketiga-tiga orang isteri saya.

Untuk makluman semua saya menubuhkan Rufaqa’ pada tahun 1997 setelah 3 tahun saya diletakkan di bawah tahanan daerah (RO) di Bandar Country Homes, Rawang. Sepanjang berada dalam RO saya dikehendaki melapor diri kepada pejababat SB pada setiap minggu. Saya hanya boleh bergerak di sekitar daerah Gombak sahaja dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang. Boleh dikatakan sepanjang waktu itu saya hidup bersama SB. Yang sering datang bertamu ke rumah saya juga adalah SB. Segala aktiviti saya semuanya mendapat persetujuan daripada pihak SB terlebih dahulu. Selepas 5 tahun saya membangunkan Rufaqa hingga berkembang menjadi sebuah bandar orang Melayu ditengah-tengah penduduk Cina yang bertempat di Celebration Mall Bandar Country Homes, Rawang saya telah dipindahkan ke Labuan. Saya ke Labuan dengan diiringi oleh sekumpulan SB yang menemani saya menaiki kapal terbang ke sana. Saya di buang daerah ke Labuan dengan alasan perkembangan Rufaqa dikaitkan dengan usaha menghidupkan Arqam. Saya ditempatkan di sana dari tahun 2002-2004.

2. Diwaktu ini ada persoalan Mengapa dan bagaimana timbulnya isu menghidupkan Arqam dikalangan masyarakat.Isu ini timbul begini. Terdapat 2 badan kerajaan yang bertanggung jawab mengawal dan memantau saya iaitu pihak KKDN dan JAKIM.

Pihak KKDN melalui SB yang bertugas mengawal dan memantau saya sangat memberi sokongan saya menubuhkan Rufaqa dan mengembangkan syarikat. Mereka berkawan dangan saya dan memantau saya dari dekat. Mereka dapat membezakan di antara membangunkan syarikat dengan menghidupkan Arqam. Manakala di pihak JAKIM pula mereka jarang berjumpa dan berbual dengan saya. Malah lebih suka mengambil maklumat dari jauh terutama dari bekas-bekas ahli Arqam yang menentang saya. Mereka ini dahulunya adalah pengikut-pengikut saya yang pernah saya nasihat dan tegur kesilapan-kesilapan mereka tetapi dihujungnya mengambil jalan bermusuh dengan saya. Tetapi pihak JAKIM lebih berminat mengambil maklumat daripada mereka daripada berjumpa dengan saya sendiri.

Akhirnya berlakulah pertembungan fikiran di sini. Membangunkan Rufaqa dikaitkan dengan menghidupkan Arqam. Bagi pihak yang tidak ada apa-apa kepentingan, mengenali dan memantau saya dari dekat, mereka mendapati saya tidak melakukan apa-apa aktiviti yang mengancam keselamatan sehinggalah pada tahun 2004 mereka telah cukup yakin untuk membebaskan saya dari ISA Namun dari pihak JAKIM saya terus dianggap bermasalah walaupun saya telah berikrar di hadapan pihak KKDN dan JAKIM bahawa saya menerima dan mematuhi fatwa serta meninggalkan sepenuhnya ajaran Aurad Muhammadiah.

Di Labuan perniagaan saya makin berkembang maju dan Rufaqa telah mula melangkah ke luar negara, mengembangkan perniagaan di Indonesia, Singapura, Thailand, Australia, Eropah dan Timur Tengah. Waktu yang sama tekanan dari pihak JAKIM juga makin membesar. Mereka bagaikan lebih suka melihat perniagaan ini ditutup dan berkubur sahaja dengan alasan ianya adalah usaha menghidupkan Arqam walaupun tidak ada hujah untuk membuktikannya..

Sewaktu Arqam diharamkan terus terang saya katakan sudah tidak ada siapa yang setia dengan saya lagi. Dengan dibubarnya Arqam menyebabkan semua pengikut lari meninggalkan saya. Tinggallah saya dengan isteri dan anak-anak yang belum berkahwin. Selama tiga tahun saya hidup di rumah bersama keluarga terdekat dan SB sahaja sebagai kawan. Setelah saya menubuhkan Rufaqa banyak bekas-bekas Arqam yang datang meminta kerja. Rupanya mereka hidup dalam kesempitan setelah berpisah dengan saya. Saya sangkakan pihak JAKIM akan membela dan menyediakan pekerjaan untuk mereka seperti yang dijanjikan , tetapi nampaknya tidak berlaku demikian. Jadi atas dasar tanggung jawab dan simpati maka saya ambil mereka bekerja dengan saya.

Setelah hancurnya Arqam maka fahamlah saya bahawa apa yang saya miliki selama ini di dalam Arqam samada manusianya atau asetnya terlalu rapuh dan begitu mudah dihancurkan. Jemaah saya lemah rupanya dan orang-orangnya mengecewakan. Rupanya bukan mudah mencari kawan yang setia. Lalu saya berfikir untuk memulakan hidup baru di era baru ini dengan menubuhkan sebuah syarikat perniagaan bersama keluarga terdekat. Jadi dari situlah saya menubuhkan Rufaqa Corporation. Bertolak dari azam baru itulah saya memanjatkan doa dan munajat kepada Tuhan,

‘Wahai Tuhan sekiranya aku benar maka Kau jadikanlah aku kaya melalui perniagaan ini”

Maka saya pun memulakan hidup baru saya melalui perniagaan ini padahal saya bukanlah seorang peniaga. Saya asalnya adalah seorang guru agama dan pendakwah. Namun oleh kerana itu sahaja laluan yang ada di waktu itu maka bermodalkan doa itulah saya memulakan perniagaan bersama keluarga. Akhirnya Tuhan izinkan ianya berkembang dan membesar. Tetapi apabila ianya membesar ada orang yang tidak senang dan menuduh saya cuba menghidupkan Arqam melalui Rufaqa’. Sebenarnya saya sendiri sudah terlalu kecewa dan serik untuk menghidupkan Arqam.

Terdapat juga dikalangan bekas murid-murid saya di dalam Arqam yang marahkan saya dan membenci saya kerana menuduh apa yang saya janjikan waktu dalam Arqam dahulu tidak berlaku. Mereka rasa terzalim, tertipu dan kecewa. Lalu mereka bercita-cita untuk membangunkan dan memimpin sebuah jemaah baru di atas pusara Arqam di mana merekalah yang akan menjadi pemimpinnya. Mereka memusuhi dan membenci saya hinggalah terbitnya buku ‘tersungkur di pintu syurga’. Mereka menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan saya merata-merata. Mereka ingin menjatuh dan menghancurkan saya dalam keadaan saya masih berada dalam ISA. Saya seolah-olah diikat kaki tangan dan mulut lalu dipukul beramai-ramai. Tetapi dengan kuasa Tuhan perniagaan saya makin membesar manakala perniagaan mereka yang di rampas dari saya waktu Arqam dulu makin hancur. Akhirnya terkejutlah meraka kerana melihat perniagaan saya makin berkembang. Mereka tidak sangka saya yang asalnya hanyalah seorang Ustaz boleh mebangun menjadi korporat yang berjaya. Sedangkan banyak usaha-usaha musuh untuk menghancurkan saya tetapi gagal. Logiknya saya telah berkubur. Tetapi saya boleh bangun semula melalui Rufaqa’. Ini semua adalah kuasa Allah yang berlaku ke atas saya di mana saya boleh membangunkan sebuah perniagaan di atas nama Islam. Tuhan buktikan kepada saya bahawa keyakinan saya selama ini adalah benar. Tuhan telah kabulkan doa saya.

Hal inilah yang membuatkan mereka tercabar dan dengki dengan saya lalu cuba mempengaruhi JAKIM dan masyarakat dengan mengatakan saya cuba hidupkan Arqam melalui Rufaqa. Sebenarnya apa yang berlaku bukannya menghidupkan Arqam, tetapi ianya memperlihatkan kegagalan terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh bekas-bekas Arqam untuk menghancurkan saya. Telah 10 tahun mereka menggunapakai berbagai cara untuk memusnahkan perniagaan saya namun hingga kini Tuhan tidak izinkan. Usaha-usaha mereka ternyata gagal . Kebenaran tidak mungkin dapat dihancurkan. Ini bukannya isu saya melanggar fatwa, tetapi apa yang berlaku ialah saya sedang membuktikan bahawa janji Tuhan Islam pasti bangkit di sebelah Timur sedang berlaku. Tidak ada sebarang kuasa yang mampu menghalangnya. Manakan kuasa manusia mampu menandingi kuasa Tuhan!

…..bersambung

Leave a Reply