JAWAPAN-JAWAPAN USTAZ ASHAARI MUHAMMAD TERHADAP ISU-ISU TERKINI (bhg 3)

JAWAPAN-JAWAPAN USTAZ ASHAARI MUHAMMAD TERHADAP ISU-ISU TERKINI
Kenali1_2
Dalam persoalan apakah cita-cita saya yang sebenarnya elok juga saya ceritakan di sini. Cita-cita saya ialah untuk mencipta bangsa Melayu yang kuat dan berdaulat melalui ekonomi yang menjadikan Islam sebagai resepi kejayaannya. Nak perkasakan bangsa melalui ekonomi Islam. Saya dah buktikan melalui Rufaqa Tetapi kenapa kebenaran ini disalah tafsir? Saya lebih suka kalau di antara mereka yang keliru datang bertanya langsung kepada saya bukannya menuduh, mengugut dan menekan saya serta cuba membunuh perniagaan saya. Elok tirulah cara SB melayan saya.

Pemikiran yang mengatakan saya cuba menghidupkan Arqam adalah menyimpang sekali. Apa yang sebenarnya berlaku ialah membangunkan Islam melalaui ekonomi. Sewaktu saya sampai di Bandar Country Homes dahulu satu kedai Melayu pun tidak ada. Nak beli beras pun terpaksa ke kedai Cina. Sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya rasa tercabar. Mengapa melalui Islam kita tidak boleh maju. Akhirnya saya bertekad untuk menebus maruah ini dan membuktikan bahawa orang Melayu akan gemilang melalui Islam.

Kalau di dalam Arqam dahulu saya hanya menumpukan operasi di kampung pendalaman, tetapi sekarang Rufaqa membangunkan ekonomi di tengah-tengah bandar. Bersaing secara sihat dengan bangsa lain yang jauh lebih maju ke depan berbanding dengan bangsa Melayu. Walaupun berbagai halangan dan rintangan yang terpaksa saya lalui tapi saya masih boleh bertahan hingga sekarang dengan izin Allah. Saya rasa masyarakat tidak sepatutnya sangsi dengan saya dan Rufaqa tetapi gembira dan bangga dengan pencapaian ini.

Kalau saya katakan saya tidak berniat untuk menghidupkan Arqam, orang-orang yang tidak senang dengan saya dan menuduh saya cuba hidupkan Arqam takkan percaya. Niat itu dalam hati, siapa pun tak tahu, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Tapi saya boleh buktikan secara lahirnya dengan alasan berikut:

1.Setelah Arqam diharamkan saya telah menubuhkan Rufaqa Corporation Sdn Bhd (T.426782-V) yang di daftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Sedangkan Arqam dahulu adalah sebuah badan dakwah dan tidak di daftarkan. Rufaqa ditubuhkan pada tahun 1997 hanyalah untuk tujuan perniagaan semata- semata.

2. Dari segi identiti Al Arqam, kalau dahulu dikenali dengan jubah, serban dan purdah tapi sekarang sudah tidak ada lagi. Semuanya berpakaian sama seperti masyarakat umum.

3. Sejak saya memulakan perniagaan Rufaqa, setiap minggu saya melaporkan diri kepada pihak polis. Setiap aktiviti harian dan aktiviti perniagaan saya laporkan kepada pihak keselamatan. Saya maklumkan kepada mereka oleh kerana keluarga saya besar, saya perlu berniaga dengan memulakan sebuah pasaraya, klinik , café dan lain-lain bertujuan untuk menampung keperluan sebuah keluarga besar.

4. Sejak Arqam diharamkan banyak bekas-bekas ahli Arqam yang hilang pekerjaan. Mereka tidak ada sumber pendapatan. Sedangkan pihak Jakim pernah menjanjikan pekerjaaan kepada bekas-bekas Arqam untuk memulakan hidup baru. Tetapi tidak ada nampaknya. Apabila saya menubuhkan Rufaqa Corporation mereka datang untuk meminta kerja. Sebelum ini saya pernah ambil orang-orang lain untuk bekerja termasuk pekerja asing tetapi susah untuk di disiplinkan. Terutama dari segi kejujuran dan amanah.Lebih-lebih lagi saya masih dalam tahanan, pergerakan saya terhad untuk memantau semua staff saya. Malah semua nama staff saya dari kalangan bekas Arqam telah saya laporkan kepada pihak keselamatan.

5. Saya tidak pernah mengusahakan untuk hidupkan kembali Arqam. Malah kalau pihak berkuasa menyuruh saya hidupkan kembali pun saya tidak mahu. Saya sudah serik dengan cara Arqam. Orang-orang di dalamnya dahulu banyak yang ada kepentingan. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan melalui ISA saya telah diproses ke arus perdana hingga berjaya membangunkan sebuah syarikat. Jangan salah ertikan membangunkan sebuah syarikat perniagaan dengan menghidupkan semula Arqam. Selama ini yang menjaga kami dan sentiasa berhubung dengan kami ialah pihak keselamatan bukannya pihak Jakim. Apabila Rufaqa makin maju dan membesar timbullah isu bahawa saya nak hidupkan Arqam. Sedangkan kerajaan minta orang Melayu kuatkan ekonomi. Bila ekonomi saya makin berkembang dituduh ada agenda hidupkan Arqam. Sedangkan Arqam bagi saya hanyalah tinggal kenangan. Pihak keselamatan sangat tahu segala aktiviti saya selama ini. Saya sentiasa memberi laporan perkembangan perniagaan saya samada di dalam maupun di luar negara.

6. Berkaitan dengan isu Aurad Muhammadiah, telah banyak kali saya berikrar di hadapan KKDN dan jakim bahawa saya sudah meninggalkan dan tidak mengamalkan ajaran itu lagi. Malah semua ahli keluarga dan staff syarikat saya juga tidak mengamalkannya. Saya juga tidak pernah memasukkan dalam senarai aktiviti saya usaha untuk mengembangkan Aurad Muhammadiah. Malah kalau di lihat kepada senarai tajuk-tajuk motivasi yang di berikan kepada staff saya melalui Pusat Motivasi Harmoni tidak ada satu pun tajuk menggenai Aurad Muhammadiah. Tajuk yang utama ialah Solat membina Peribadi Agung, Membina Keluarga Bahagia dan sebagainya.

Selama 10 tahun diproses melalui ISA saya cukup faham kehendak kerajaan dan menjadi dasar saya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 berkaitan dengan isu ini. Ini adalah dasar saya dan dasar Rufaqa. Namun apabila Rufaqa sudah semakin berkembang dan bilangan staffnya makin ramai saya sudah tidak mampu untuk mengawal dan mengenal pasti amalan masing-masing. Kalaupun masih ada yang mengamalkannya itu adalah atas dasar individu dan bukannya menjadi dasar syarikat. Takkanlah kerana kesalahan individu seluruh syarikat menjadi mangsa. Kalaulah ada sorang staff syarikat yang membuat kesalahan mencuri misalnya, takkanlah seluruh syarikat nak ditutup.Ini tidak adil dan menganiaya. Patutnya hukumlah yang bersalah itu sahaja bukannya kesemua sekali.

7. Dalam hal ini kalau saya kata saya amalkan atau tidak amalkan kedua-duanya tidak boleh dibuktikan kerana ia soal amalan hati. Kalau saya kata tidak pun, orang tak percaya. Tetapi kalau saya kata saya amalkan seperti yang sesetengah pihak dakwa, itu bererti saya menganiaya diri saya. Dalam hal ini saya pun tidak boleh nak buktikan yang saya tidak amalkan dan mereka yang menuduh saya amalkan pun tidak boleh membuktikan yang saya masih amalkan. Kalau ianya berkaitan dengan amalan lahir seperti solat, boleh dilihat dengan mata lahir dan boleh dibuktikan, tapi ini amalan hati, macam mana nak buktikan. Saya dituduh dan dihukum di atas satu perkara yang berlaku dalam hati, yang tidak boleh dilihat dan dibuktikan secara lahir.

……bersambung

Leave a Reply