Bulan Overhaul Hati !!!
Saturday, September 23rd, 2006RAMADHAN BULAN OVERHAUL HATI
23/09/2006
Allah Taala menjadikan manusia dijadikan sekali di mana kekuatannya dan kelemahannya,
Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah dan bagaimana menyuburkan yang kuat,
Allah Taala tahu di mana kebaikan mereka, dan di mana kejahatan mereka,
Memang Tuhan ada bekalkan manusia ada benih baik ada benih jahat ,
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat,
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan,
Di dalam masa setahun manusia terdedah dengan berbagai-bagai ajaran dan cabaran,
Cabaran itu seperti tekanan hidup, sibuk dengan kerja, berhadapan dengan kerenah manusia,
Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak, kemalangan yang tidak disangka, melihat, mendengar perkara yang merosakkan,
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini memberi kesan yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang,
Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan jiwanya tidak rosak dan tidak memberi kesan,
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka, bahkan bertambah kuat dengan Tuhan,
Dengan rahmat Tuhan dan kasih sayang-Nya,
Tuhan perintahkan puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah tambahan,
Ramadhan boleh membaik pulih kejahatan,
Kerosakan manusia setahun hanya sebulan,
Seolah-olah Ramadhan bulan overhaul hati insan,
Seperti kereta yang sudah lama dipakai, banyak kerosakan telah berlaku terutama enjin, perlu overhaul,
Overhaullah caranya membaikpulihkan kereta yang perjalanannya sudah tidak berapa betul,
Manusia yang sudah rosak jiwanya, fikirannya, sikap dan tingkahlakunya dipulihkan melalui didikan Ramadhan,
Didikan Ramadhan merupakan satu pakej pendidikan di antara satu sama lain kuat-menguatkan,
Siangnya puasa, sembahyang ditambah lagi dengan Tarawikh, disusul dengan membaca Al Quran,
Ditambah lagi dengan perkara-perkara sampingan, zikir, tasbih, tahmid, salawat, tafakur digalakkan bersedekah dan pemurah, perbualan yang menambah kesedaran,
Keseluruhan itu asasnya adalah mujahadah melawan nafsu menentukan didikan Ramadhan berkesan atau tidak bekesan,
Didikan Ramadhan ada mujahadah, ada didikan puasa, didikan sembahyang,
Ditambah lagi didikan Al Quran dan lain-lain lagi tambahannya,
Mujahadah ertinya memerlukan kekuatan jiwa, memaksa membuat yang disuruh, memaksa meninggalkan larangan,
Larangan itu sama ada yang lahir mahupun yang batin kenalah tinggalkan,
Mujahadah ertinya memaksa, terseksa, membencikan, menjemukan, meletihkan,
Kalau jiwa tidak kuat usaha tidak dapat diteruskan, atau buat tanpa kesungguhan,
Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan,
Pemangkin ialah puasa yang hati dan fikirannya puasa, sembahyang yang dapat dihayati, didikan Al Quran yang difaham dan dijiwai,
Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan,
Di antara didikan Al Quran di sana ada khabar gembira, ada amaran, ada suri teladan juga ada kesedaran dan keinsafan,
Didikan puasa rasa lemah, rasa hamba, rasa timbang rasa, menyedarkan dan menginsafkan,
Daripada 3 pakej didikan yang utama itulah menjadikan pemangkin menguatkan jiwa, menyuburkan jiwa, meneguhkan keyakinan,
Apabila jiwa kuat, jiwa subur, mujahadah pun kuat,
Apabila jiwa kuat dan subur hikmah Ramadhan daripada 3 pakej didikan tadi boleh bangunkan insan,
Jika hikmah Ramadhan itu dapat dimiliki lahirlah manusia luarbiasa,
Ertinya manusia yang dioverhaul di bulan Ramadhan mengembalikan manusia kepada fitrah sucinya,
Lahirlah manusia yang luar biasa, iaitu manusia yang benar-benar rasa kehambaan,
Manusia yang tawadhuk, sabar, redha, berkasih sayang, bertimbang rasa, pemurah, kerjasama,
Malu akan jadi pakaian, tawakal menjadi perasaan, keyakinan kental,
Apabila sifat ini dapat dimiliki, automatik mazmumah terbasmi,
Sombong, tamak, bakhil, pemarah, hasad, dendam, gila puji, gila nama, mati,
Inilah dia orang yang menang dan berjaya didikan Ramadhan,
Selepas Ramadhan manusia itu kembali suci seperti fitrahnya yang semulajadi,
Orang ini sahajalah yang layak berhari raya,
Kerana berjaya mengembalikan kesucian fitrahnya, hari raya namanya,
Hari raya ertinya mengembalikan fitrah suci lagi murni,
Kalau fitrah yang suci murni ini kekal sepanjang tahun,
Ramadhan yang akan datang hanya memberi cahaya lagi, bukan overhaul,
Begitulah didikan Ramadhan ramai orang yang gagal, sedikit sangat yang berjaya.
asz
25.11.2002
Selepas Tarawikh
