LAYAK TANPA SIJIL
Monday, June 26th, 2006LAYAK TANPA SIJIL
14/06/2006
Di
zaman moden macam sekarang ini, hendak jadi apa pun, kenalah layak.
Kalau tidak layak, siapa pun tidak akan terima. Kelayakan pula diukur
dengan sijil. Sijil itulah bukti kelayakan. Sijil itulah bukti
kemahiran. Sijil pula bukan sebarang sijil. Mesti sijil yang diiktiraf.
Mesti sijil yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang diakui. Kalau tidak,
tak laku juga.
Hendak jadi doktor mesti ada sijil kedoktoran. Hendak jadi jurutera
mesti ada sijil kejuruteraan. Hendak jadi guru mesti ada sijil
perguruan. Setidak-tidaknya, hendak jadi kerani biasa pun mesti ada
sijil pelajaran.
Ini sebenarnya satu sistem yang baik. Cara begini dapat menentukan
bahawa siapa sahaja yang dilantik memegang apa-apa jawatan benar-benar
layak memegang jawatan tersebut. Kita pun tidak mahu doktor yang tidak
layak dijadikan doktor. Nanti dia bagi kita ubat yang salah. Penyakit
yang ringan boleh jadi berat. Kita juga tidak mahu jurutera yang tidak
layak dijadikan jurutera. Nanti dia bina jambatan, salah buat
kira-kira. Bila kita lalu, jambatan terhayun ke kiri, terhayun ke
kanan. Ini semua menggerunkan kita.
Memang dalam hidup ini, hendak jadi apa pun, mestilah layak. Kalau
tidak, semua akan jadi rosak. Diri jadi rosak, orang lain jadi rosak,
masyarakat pun jadi rosak.Begitu juga kalau hendak jadi kaya. Mestilah
layak. Tapi layak
yang tidak bersijil. Orang yang nak jadi kaya
mestilah pemurah. Mesti bersifat belas kasihan kepada orang miskin dan
orang susah. Mesti bersifat zuhud. Merasa bertanggungjawab kepada
masyarakat dan agama. Dengan ini barulah kayanya itu tidak akan
merosakkan bahkan adalah baik untuk
dirinya, baik untuk orang lain dan baik untuk masyarakat.Dia akan bantu
orang-orang susah, orang-orang melarat, fakir dan miskin. Dia akan bela
agama dengan wang ringgitnya.Akan ditinggikan kalimah Allah dengan
harta bendanya.Kekayaannya tidak lekat di hati. Diambilnya sekadar
perlu dan dikorbankan yang lebihnya untuk mencari keredhaan Allah.Dia
menjadi pembela pada masyarakat.
Orang yang bakhil sebaliknya tidak layak jadi kaya. Kalau si
bakhil jadi kaya, maka kerugian besarlah dunia. Dia akan mengumpulkan
hartanya untuk menjaga statusnya. Untuk bermegah-megah. Untuk
berlumba-lumba kekayaan dengan orang lain. Hartanya akan menjadi beku
dan tidak disamaratakan.Dia jadi kaya tapi masyarakat jadi miskin.
Kekayaan tertumpu pada yang sedikit. Timbullah kasta-kasta kaya dan
miskin dalam masyarakat yang saling tindas-menindas, bencimembenci dan
curiga-mencurigai di antara satu sama lain.
Kekayaan si bakhil tidak sesiapa pun dapat
menikmatinya.Masyarakat tidak akan merasanya. Bahkan si bakhil itu
sendiri tidak akan merasanya. Orang yang bakhil hakiki hakikatnya
miskin. Dia tidak akan rela mengurangkan hartanya walaupun untuk
dirinya sendiri. Biar dia makan kacang putih dan minum air sejuk
asalkan kekayaannya tidak luak.
Begitu juga dengan orang yang boros. Orang boros juga tidak
layak jadi kaya. Dia hanya akan
‘memakmurkan’ pusatpusat perjudian,
disco dan kelab-kelab malam. Dia hanya akan
melariskan perniagaan ar
ak dan menghidupkan kegiatan-kegiatan maksiat.
Setidak-tidaknya dia akan menghabiskan wang ringgitnya untuk
berfoya-foya, berseronok-seronok dan membazir. Masyarakat, orang miskin
dan orang susah tidak
akan dapat menimba apa jua faedah daripada kekayaan orang yang boros.
Kalaulah betul ada ura-ura atau cita-cita untuk membasmi
kemiskinan dan membuat semua orang jadi kaya, elok sangatlah
orang-orang yang bakhil dan yang boros dikecualikan danjangan
dikayakan. Mereka ini tidak layak dan lebih baik dibiarkan
miskin sahaja. Kalau mereka kaya, akan jadi rosak.Kalau mereka miskin,
diri mereka dan masyarakat akan lebih selamat.
Hendak jadi ulama pun mestilah layak. Tambahan pula kalau
hendak berfungsi mendidik masyarakat. Bukanlah setakat kelayakan
mempunyai ilmu agama sahaja dan terbukti pula dengan sijil-sijilnya.
Bahkan ada kelayakan yang lebih penting daripada itu tetapi tidak
bersijil. Ulama yang berhasrat untuk mendidik masyarakat mestilah ulama
yang beramal. Mestilah ulama yang bukan ahli dunia. Mestilah ulama yang
tidak berpihak ke mana-mana kecuali Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.
Barulah nasihat dan tunjuk ajarnya tegas, setentang dan selari dengan
syariat. Barulah dia boleh menjadi contoh. Ulama
seperti inilah yang menjadi pelita kepada masyarakat. Orang dengar apa
dia cakap.
Ulama ahli dunia tidak layak mendidik masyarakat. Bahkan
dirinya sendiri telah rosak dan perlu dididik. Perkara dunia akan
diduniakan (tidak dijadikan ibadah). Perkara Akhirat
pun akan diduniakannya juga. Segala-galanya akan diduniakannya.
Hukum-hakam akan ditegang dan dikendurkan mengikut kepentingan
dunianya. Dia akan terikat dengan berbagai-bagai ikatan dan simpulan
tali-tali dunia hinggakan lidahnya akan jadi kelu di kala mana dia
sepatutnya bersuara, dan dia akan bersuara di kala mana dia sepatutnya
diam.
Bila masa dia bersuara pula, suaranya bunyi sumbang. Bila ada
orang buat yang baik dan yang makruf, ada sahaja komennya dan ada
sahaja yang tak kena padanya. Yang maksiat dan mungkar yang berlaku di
tepi hidungnya tidak pula ditegurnya.Katanya, di luar bidang kuasanya.
Jadi kerjanya, komen yang baik dan diamkan yang jahat. Bukan lagi
menyuruh kepada yang baik dan mencegah kepada yang jahat. Dengan ulama
dunia macam ini, masyarakat boleh jadi
lintang-pukang.Hendak jadi
pemimpin kepada rakyat pula, tidak kira di peringkat mana lagi-lagilah
mesti layak. Tidak memadai dengan kepintaran, populariti dan sokongan
majoriti semata-mata.
Pemimpin kepada rakyat mestilah adil. Mesti menaruh hak pada
yang hak dan mesti mampu berhukum dengan hukum yang hak. Dengan ini
barulah dirinya akan terlepas daripada menganiaya dan menzalimi rakyat.
Pemimpin rakyat hakikatnya ialah hamba kepada rakyat.Rakyat mesti
didahulukan. Segala keperluan rakyat mesti diselesaikan. Pemimpin yang
mampu berbuat beginilah yang dikatakan payung kepada rakyat.
Pemimpin yang zalim akan mengetepikan dan akan menindas
rakyat. Dia bermusuh dengan rakyat. Dia akan sibuk menguatkan
kedudukan, pengaruh dan kuasanya. Untuk itu segala bentuk penyelewengan
akan dilakukannya. Dia akan tenggelam di dalam kemewahan dari harta
rakyat. Dia akan beraja di mata dan bersultan di hati. Pemimpin seperti
ini hanya akan mencetuskan kacau-bilau, huru-hara dan kemusnahan!
Undang-undang dan peraturan yang digubal bukan lagi untuk
melindung rakyat, untuk menentukan hak asasi dan kepentingan rakyat dan
untuk memudahkan urusan rakyat
tetapi untuk mengekalkan kuasa dan untuk menguatkan kedudukannya.




